Friday, April 25, 2008

Gambar Kenangan Sukan Tahunan SK Seri Mega 2008

SK Seri Mega telah mengadakan Temasya Sukan Tahunan Kali Ke-23 pada 19hb. April 2008 yang lalu. Sedar atau tidak, pergerakan anda telah dirakamkan oleh dua orang juru gambar yang telah ditugaskan oleh pihak sekolah. Mereka adalah Cikgu Mohd. Fadzli dan Ustazah Rujiah. Terdapat pelbagai jenis gambar yang menarik, lucu, mempersona serta dapat mengimbau kenangan yang lepas. Oleh kerana terdapat banyak permintaan oleh guru-guru, ibu bapa dan murid-murid, pihak sekolah telah menghasilkan sekeping CD-Rom yang mengandungi semua gambar-gambar kenangan yang telah berjaya dirakam. Anda boleh dapatkan ia dengan harga RM5.00 sekeping daripada Cikgu Mohd. Fadzli mulai 28hb. April 2008 (Isnin) ini. Tidak dilupakan juga kepada mereka yang mahu mendapatkan gambar dalam bentuk cetakan gambar. Anda boleh mendapatkannya dengan harga RM1.00 sekeping daripada guru yang sama. Diharapkan dengan penghasilan CD-Rom dan cetakan gambar ini dapat memenuhi permintaan semua warga SK Seri Mega.

Wednesday, April 23, 2008

Ustaz Abdul Karim Dinaikkan Pangkat

Pada 16hb. April 2008 yang lalu, sekolah digemparkan dengan perpindahan seorang guru yang berpengalaman luas dalam bidang agama Islam. Beliau ialah Ustaz Abdul Karim Bin Abdul Ghafar. Beliau telah dinaikkan pangkat ke jawatan Guru Penolong Kanan Tadbiran & Kurikulum (GPK 1) di SK Petaling 1. Beliau telah berkhidmat di sekolah ini kurang lebih 15 tahun lamanya. Banyak bakti yang telah dicurahkannya pada sekolah ini. Antaranya, beliau telah beberapa kali menjawat jawatan Ketua Panitia Agama Islam, menguruskan Biasiswa Baitulmal, terlibat dalam Pertandingan Catur sehingga berjaya mendapat nama di peringkat Zon Bangsar serta banyak membantu dalam pengurusan bilik Kemahiran Hidup, perpustakaan, surau, dan aktiviti-aktiviti Panitia Agama Islam serta sekolah amnya. Pihak sekolah mengucapkan Selamat Berjaya dalam menjalankan tugas baru, jawatan baru dan sekolah baru. Jasamu akan sentiasa dikenang oleh kami warga SK Seri Mega. TAHNIAH USTAZ ABDUL KARIM BIN ABDUL GHAFAR

Tuesday, April 22, 2008

Temasya Sukan Tahunan SK Seri Mega Kali Ke-23



Temasya Sukan Tahunan SK Seri Mega Kali Ke-23 telah selamat dijalankan pada 19hb. April 2008 (Sabtu) yang lalu. Ia telah dirasmikan oleh Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa Dan Guru yang baru dilantik iaitu Puan Saba'ah Binti Ibrahim. Pihak Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) SK Seri Mega juga ada membuka gerai makanan dan minuman semasa acara sedang berlangsung bagi memeriahkan lagi temasya sukan pada kali ini. Acara perbarisan dan lintas hormat merupakan acara pembukaannya. Diikuti dengan acara lafaz ikrar oleh wakil murid serta upacara menaikkan bendera. Sejurus selepas itu, Guru Besar serta YDP PIBG SK Seri Mega dijemput menyampaikan ucapan masing-masing. Selepas tamatnya acara perbarisan lintas hormat, acara sukan pun dimulai. Pelbagai acara sukan telah dirancang serta dilaksanakan dengan kerjasama semua guru dan penglibatan semua murid warga SK Seri Mega. Antara acara yang telah dijalankan adalah seperti acara larian, tarik tali, acara khas bekas pelajar SK Seri Mega serta acara khas peserta jemputan. Pada tahun ini, Rumah Biru Wira telah muncul juara keseluruhan dengan mengutip sebanyak 463 mata. Diikuti oleh Rumah Hijau Satria (432), Rumah Merah Waja (363), dan Rumah Kuning Putra (307). Rumah Biru Wira juga telah menunjukkan komitmen mereka apabila diumum sebagai juara perbarisan dengan mengalahkan kontinjen-kontinjen rumah sukan yang lain. Olahragawan 2008 telah jatuh kepada peserta dari Rumah Biru Wira iaitu Muhd. Syaifullah (6K). Beliau telah memperoleh 4 pingat emas dalam acara 200m, 4x100m, 4x200m, serta lompat jauh dan 1 pingat perak dalam acara 100m. Manakala Olahragawati 2008 telah dianugerahkan kepada peserta dari Rumah Merah Waja iaitu Siti Amanina (6R). Beliau telah memenangi 3 pingat emas dalam acara lompat jauh, lompat tinggi dan 4x200m serta memperoleh 1 pingat perak dalam acara 4x100m. Muhd. Azam bin Khairul Anuar (5R) dari Rumah Biru Wira pula telah dinobat sebagai Olahragawan Harapan 2008, manakala Olahragawati Harapan 2008 diberi kepada Yuhana (5S) dari Rumah Kuning Putra. Begitulah kesudahan Temasya Sukan Tahunan SK Seri Mega Kali Ke-23 yang telah berlangsung dengan jaya dan meriahnya di padang sekolah SK Seri Mega sendiri. Walaupun padangnya becak, namun semangat kesukanan yang jitu telah ditunjukkan oleh para peserta dengan menyertai kesemua acara sukan yang telah dipertandingkan. Oleh kerana, Temasya Sukan Tahunan SK Seri Mega Kali Ke-23 ini jatuh pada hari Sabtu (cuti), maka pihak sekolah telah dibenarkan oleh Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan untuk menggantikan cuti tersebut pada hari Isnin (21hb. April 2008). Sekolah akan dibuka semula pada hari Selasa (23hb. April 2008) nanti. Sekian, harap maklum.

Thursday, April 17, 2008

Sukan Tahunan Dan Cuti Peristiwa


Adalah dimaklumkan bahawa SK Seri Mega akan bercuti pada 21hb. April 2008 (Isnin) sebagai menggantikan Hari Sukan Tahunan SK Seri Mega Kali Ke-23 yang akan diadakan pada 19hb. April 2008 (Sabtu) di Padang SK Seri Mega. Murid-murid dikehendaki hadir ke sekolah semula seperti biasa pada hari berikutnya iaitu hari Selasa (22hb. April 2008). Tuan-puan semua dijemput hadir bagi memeriahkan lagi Temasya Sukan Tahunan SK Seri Mega Kali Ke-23 ini.

Friday, April 11, 2008

Keputusan Mata Keseluruhan Rumah Sukan

Berikut adalah keputusan rasmi jumlah mata keseluruhan rumah-rumah sukan untuk Temasya Sukan Tahunan SK Seri Mega 2008 Kali Ke-23.

Rumah Merah Waja

56 (100m) + 43 (L.Peluru) + 3 (L.Jauh) = 102 (Jumlah)

Rumah Biru Wira

48 (100m) + 39 (L.Peluru) + 8 (L.Jauh) = 95 (Jumlah)

Rumah Kuning Putra

43 (100m) + 36 (L.Peluru) + 1 (L.Jauh) = 80 (Jumlah)

Rumah Hijau Satria

42 (100m) + 34 (L.Peluru) + 4 (L.Jauh) = 80 (Jumlah)

Jumlah mata adalah setakat 11hb. April 2008. Mata rumah sukan akan terus bertambah jika atlit rumah sukan berjaya memperoleh pingat dalam acara yang dipertandingkan.

Pertandingan Melukis Kempen Keselamatan Jalanraya


Pertandingan ini telah dijalankan pada 10hb. April 2008 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur. Pertandingan ini telah dianjurkan oleh Majlis Keselamatan Jalan Raya dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan dan Shell Malaysia. Ia telah disertai oleh 102 buah sekolah seluruh Wilayah Persekutuan. Pihak sekolah telah menghantar tiga orang peserta untuk menyertai pertandingan tersebut. Mereka adalah Sarannya A/P Balakrishnan (3S), Rachel Wong Li Yen (3S), dan Chuang Pei Ning (6S). Salah seorang daripadanya telah berjaya mendapat Tempat Pertama dalam Pertandingan Melukis - Tahap 1. Beliau ialah Rachel Wong Li Yen. Tahniah diucapkan kepada beliau.

Tuesday, April 8, 2008

Sukantara 2 (Tahap 1 & 2)

9hb. April 2008 (Rabu) - SK Seri Mega akan menjalankan sukantara bagi murid-murid Tahap 2 (sambungan) dan Tahap 1. Murid-murid dikehendaki memakai pakaian sukan untuk aktiviti tersebut. Mereka juga dinasihatkan supaya membawa bersama pakaian sekolah (uniform) untuk ditukar selepas acara sukantara selesai. Untuk makluman, murid-murid Tahap 1 akan dikawal selia oleh guru-guru kelas mereka manakala murid-murid Tahap 2 akan ditempatkan bersama guru-guru rumah sukan masing-masing.

Monday, April 7, 2008

Sukantara (Tahap 2) 2008

Pada 8hb. April 2008 (Selasa) SK Seri Mega akan menjalankan aktiviti sukantara untuk mengutip mata pendahuluan bagi rumah sukan masing-masing. Aktiviti ini hanya untuk Tahap 2 (Tahun 4, 5, dan 6 sahaja). Murid-murid diminta berpakaian sukan lengkap. Acara sukan yang akan dijalankan adalah lompat jauh, lontar peluru dan larian 100 meter. Acara ini dijangka tamat sebelum waktu rehat. Murid-murid akan masuk semula ke dalam kelas masing-masing untuk mengikuti pelajaran yang seterusnya selepas waktu rehat. Diharap semua murid akan menukar pakaian sukan mereka kepada pakaian sekolah (uniform) selepas waktu rehat. Bagi murid-murid Tahap 1 (Tahun 1, 2, dan 3) mereka akan belajar di dalam kelas seperti biasa. Harap maklum.

Pertandingan Ping Pong (R) Zon Bangsar


Pertandingan Ping Pong (R) Zon Bangsar telah diadakan pada 1,2 & 3 April 2008 di SK Desa Petaling. Sekolah kita telah menyertai semua kategori yang dipertandingkan dan memenangi tiga kategori dengan mendapat tempat ke-3. Kategori yang berjaya mendapat pingat adalah kategori Perempuan Berpasukan, Bergu Lelaki Bukan Cina dan Perseorangan Lelaki Terbuka. Mereka terdiri daripada Sarah Yee (6S), Jade Loo (6S), Lim Yin Ru (5S) dan Lam Mei Yan (6S) dalam kategori Perempuan Berpasukan. Manakala dalam kategori Bergu Lelaki Bukan Cina pula pemenangnya adalah Muhammad Daniel Hakimi (5S) dan Muhammad Azwar Shah (5K). Mah Jin Hou (5S) pula telah memenangi kategori Perseorangan Lelaki Terbuka. Tahniah diucapkan.

Language Translation

Translate post to:

EDUWEBTV

EDUWEBTV
Kementerian Pelajaran Malaysia