Temasya Sukan Tahunan SK Seri Mega Kali Ke-23 telah selamat dijalankan pada 19hb. April 2008 (Sabtu) yang lalu. Ia telah dirasmikan oleh Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa Dan Guru yang baru dilantik iaitu Puan Saba'ah Binti Ibrahim. Pihak Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) SK Seri Mega juga ada membuka gerai makanan dan minuman semasa acara sedang berlangsung bagi memeriahkan lagi temasya sukan pada kali ini. Acara perbarisan dan lintas hormat merupakan acara pembukaannya. Diikuti dengan acara lafaz ikrar oleh wakil murid serta upacara menaikkan bendera. Sejurus selepas itu, Guru Besar serta YDP PIBG SK Seri Mega dijemput menyampaikan ucapan masing-masing. Selepas tamatnya acara perbarisan lintas hormat, acara sukan pun dimulai. Pelbagai acara sukan telah dirancang serta dilaksanakan dengan kerjasama semua guru dan penglibatan semua murid warga SK Seri Mega. Antara acara yang telah dijalankan adalah seperti acara larian, tarik tali, acara khas bekas pelajar SK Seri Mega serta acara khas peserta jemputan. Pada tahun ini, Rumah Biru Wira telah muncul juara keseluruhan dengan mengutip sebanyak 463 mata. Diikuti oleh Rumah Hijau Satria (432), Rumah Merah Waja (363), dan Rumah Kuning Putra (307). Rumah Biru Wira juga telah menunjukkan komitmen mereka apabila diumum sebagai juara perbarisan dengan mengalahkan kontinjen-kontinjen rumah sukan yang lain. Olahragawan 2008 telah jatuh kepada peserta dari Rumah Biru Wira iaitu Muhd. Syaifullah (6K). Beliau telah memperoleh 4 pingat emas dalam acara 200m, 4x100m, 4x200m, serta lompat jauh dan 1 pingat perak dalam acara 100m. Manakala Olahragawati 2008 telah dianugerahkan kepada peserta dari Rumah Merah Waja iaitu Siti Amanina (6R). Beliau telah memenangi 3 pingat emas dalam acara lompat jauh, lompat tinggi dan 4x200m serta memperoleh 1 pingat perak dalam acara 4x100m. Muhd. Azam bin Khairul Anuar (5R) dari Rumah Biru Wira pula telah dinobat sebagai Olahragawan Harapan 2008, manakala Olahragawati Harapan 2008 diberi kepada Yuhana (5S) dari Rumah Kuning Putra. Begitulah kesudahan Temasya Sukan Tahunan SK Seri Mega Kali Ke-23 yang telah berlangsung dengan jaya dan meriahnya di padang sekolah SK Seri Mega sendiri. Walaupun padangnya becak, namun semangat kesukanan yang jitu telah ditunjukkan oleh para peserta dengan menyertai kesemua acara sukan yang telah dipertandingkan. Oleh kerana, Temasya Sukan Tahunan SK Seri Mega Kali Ke-23 ini jatuh pada hari Sabtu (cuti), maka pihak sekolah telah dibenarkan oleh Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan untuk menggantikan cuti tersebut pada hari Isnin (21hb. April 2008). Sekolah akan dibuka semula pada hari Selasa (23hb. April 2008) nanti. Sekian, harap maklum.
No comments:
Post a Comment