Wednesday, August 27, 2008

Lawatan Ke Muzium TUDM & PDRM

27hb. Ogos 2008 (Rabu) - Sekolah Kebangsaan Seri Mega telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Muzium TUDM dan PDRM. Seramai 63 orang murid Tahun 5 serta 6 orang guru pengiring telah menyertai rombongan tersebut. Rombongan tersebut diketuai oleh Cikgu Ismail iaitu guru Kajian Tempatan SKSM. Tujuan lawatan ini diadakan adalah untuk mendekatkan diri mereka dengan pihak berkuasa dan mengenali dengan lebih dekat peranan dan tugas yang dijalankan oleh mereka. Semua murid yang mengikuti rombongan ini berasa gembira kerana diberi peluang untuk mengikutinya pada kali ini. Diharapkan pihak SK Seri Mega akan mengadakan lebih banyak lawatan sambil belajar ke tempat-tempat yang lebih menarik lagi pada masa-masa yang akan datang.

Tuesday, August 26, 2008

Majlis Bacaan Yassin

Pada 28hb. Ogos 2008 (Khamis), SK Seri Mega akan mengadakan Majlis Bacaan Yassin sempena murid-murid Tahun 6 menghadapi peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Majlis tersebut akan dimulai pada jam 6.30 petang di Dewan Bakti, SK Seri Mega. Semua murid Islam Tahun 6 diwajibkan hadir. Kepada para ibu bapa murid-murid Tahun 6 khususnya atau mana-mana ibu bapa yang ingin bersama-sama mengimarahkan majlis itu amatlah dialukan. Semoga anak-anak warga SK Seri Mega, terutamanya murid-murid Tahun 6 akan mendapat keputusan yang cemerlang hendaknya. Bersama-samalah kita berdoa agar mereka beroleh kejayaan kelak.

Thursday, August 21, 2008

Selamat Kembali Ke Sekolah

Cuti persekolahan penggal kedua hampir tamat. Sudahkah anda bersedia untuk kembali ke sekolah. Pasti ramai yang masih belum bersedia untuk kembali belajar seperti biasa. Walau bagaimanapun warga SK Seri Mega pastinya ternanti-nanti keputusan ujian bulanan yang telah selesai dijalani sebelum cuti sekolah bermula. Semua markah bagi semua kertas ujian bulanan tersebut boleh diperoleh daripada semua guru mata pelajaran masing-masing. Harap-harap anda semua mendapat keputusan cemerlang dalam ujian tersebut. Bagi mereka yang masih bermimpi, bangunlah kerana Peperiksaan Kendalian Sekolah Rendah (PKSR 2) atau peperiksaan akhir tahun akan tiba tidak lama lagi. Diharapkan semua murid bersiap sedia untuk menghadapinya. SEMOGA BERJAYA DENGAN USAHA ANDA.

Thursday, August 14, 2008

Pelancaran Bulan Patriotisme 2008

Jumaat, 15hb. Ogos 2008 - Sekolah Kebangsaan Seri Mega akan melancarkan Sambutan Bulan Patriotisme 2008. Sambutan ini dibuat saban tahun bagi meraikan Hari Kemerdekaan yang ke-51 pada tahun ini. Majlis ini akan disempurnakan oleh Pn. Guru Besar SK Seri Mega, Kuala Lumpur. Banyak pertandingan akan diadakan pada sambutan kali ini. Antaranya, pertandingan mewarna, melukis poster, deklamasi puisi, pertandingan koir peringkat kelas, kuiz merdeka dan banyak lagi. Diharap murid-murid warga SK Seri Mega akan menghayati sambutan yang kita adakan ini.

Cuti Pertengahan Penggal Kedua

Bermula pada 16hb. Ogos 2008, Sekolah Kebangsaan Seri Mega akan mula bercuti selama 9 hari sehingga 24hb. Ogos 2008. Sesi persekolahan akan dimulakan kembali pada 25hb. Ogos 2008 iaitu pada hari Isnin. Sekian, harap maklum.

Tuesday, August 12, 2008

Pra Perkhemahan 2008

Pra Perkhemahan 2008 telah dianjurkan oleh Panitia Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. ia telah diadakan pada 9hb. Ogos 2008 (Sabtu) di padang sekolah SK Seri Mega. Program ini adalah pelengkap kepada silibus PJK Tahun 4 dan 5. Aktiviti ini dijalanklan adalah untuk memberi pendedahan berkaitan asas-asas perkhemahan. Antara aktiviti yang dijalankan adalah seperti pengenalan alatan perkhemahan, keselamatan perkhemahan, cara-cara memasang dan mengemas khemah dan pertandingan memasak. Pertandingan tersebut telah dimenangi oleh Kumpulan Durian dan Dokong. Program ini telah berjaya mencapai objektifnya di mana ia memberi pendedahan awal kepada aktiviti perkhemahan sebenar di samping menerapkan kerjasama antara para peserta. Aktiviti yang julung kali diadakan ini diharap dapat diteruskan pada tahun-tahun yang akan datang.

Tuesday, August 5, 2008

Sekolah Ganti ( 9hb. Ogos 2008 )

Sabtu (9hb. Ogos 2008) - Sekolah Kebangsaan Seri Mega akan mengadakan sekolah ganti bagi menggantikan cuti tambahan sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Deepavali. Semua murid akan mengguna pakai jadual hari Jumaat. Pelbagai aktiviti akan dijalankan pada hari tersebut. Antaranya adalah Kem Bestari Solat, Aktiviti Pra Perkhemahan Perdana, Kem Motivasi Tahun 6 dan aktiviti pembelajaran yang lain. Kem Bestari Solat akan diadakan di Dewan Bakti, SK Seri Mega. Program ini akan dikendalikan oleh guru-guru J-Qaf Sk Seri Mega. Manakala bagi aktiviti Pra Perkhemahan Perdana pula akan diselaraskan oleh Cikgu Nazri dan Cikgu Abdul Rahman. Ia akan diadakan di perkarangan padang sekolah. Kem Motivasi Tahun 6 yang telah dipertanggungjawabkan kepada Unit Bimbingan Dan Kaunseling pula akan diadakan di D'Forest Resort, Ulu Langat. Ia akan dipengerusikan oleh GPK HEM SK Seri Mega iaitu En. Meon Bin Hassan. Kami berharap agar aktiviti ini dapat memberi manfaat dan faedah kepada semua warga SK Seri Mega seluruhnya.

Monday, August 4, 2008

Manifestasi Koir Lagu Rakyat Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Dan Putrajaya 2008

Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Wilayah Persekutuan telah menganjurkan Manifestasi Koir Lagu Rakyat Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Dan Putrajaya 2008 pada 2hb. Ogos 2008 (Sabtu) bertempat di Taman Budaya, Kuala Lumpur. SK Seri Mega telah menyertai pertandingan tersebut dan menyampaikan lagu yang berjudul 'Kenek-kenek La Odeng'. Kita amat bertuah kerana telah berjaya mendapat tempat ke-3 dalam Kategori Sekolah Rendah. Hadiah berbentuk piala, sijil penyertaan peringkat negeri dan wang tunai berjumlah RM600 telah berjaya dimenangi. Pasukan Koir Sekolah Kebangsaan Seri Mega ini adalah di bawah bimbingan Cik Roslin, Pn. Mah dan En. Megat. Mereka adalah guru muzik dan kebudayaan SK Seri Mega. Pasukan koir ini juga telah mendapat sentuhan daripada Pn. Norizan (GPK Ko-Kurikulum) bagi menyempurnakan gaya serta gerak tari mereka. TAHNIAH diucapkan.

Pertandingan Ping Pong Tunas Harapan Kuala Lumpur

Kelab Ping Pong SK Seri Mega telah menghantar seramai 12 orang pemain (9 pemain lelaki dan 3 pemain perempuan) ke Pertandingan Ping Pong Tunas Harapan Kuala Lumpur pada 27hb. Julai 2008 (Ahad) di SJK(C) Chung Hwa, Setapak. Pertandingan ini mendapat sambutan yang amat baik dengan penyertaan 187 orang pemain lelaki dan 60 orang pemain perempuan dari seluruh Kuala Lumpur. Kesemua pemain sekolah kita telah bermain dalam pusingan pertama iaitu pusingan "round robin" . Hanya 2 orang pemain sekolah kita iaitu Marc Loo (10 tahun) dan Jade Loo (12 tahun) dapat melangkah ke pusingan seterusnya. Malangnya mereka terkandas dalan pusingan tersebut. Diharapkan para pemain sekolah akan menunjukkan prestasi yang lebih baik pada tahun hadapan. SEMOGA BERJAYA.

Language Translation

Translate post to:

EDUWEBTV

EDUWEBTV
Kementerian Pelajaran Malaysia